Yang bergelar MANUSIA itu takkan pernah terlepas dari kesilapan. Setiap kali kita tersedar dari kesilapan, yang tinggal cumalah penyesalan dan sisa keampunan, yang sadis sekali ialah kesan dari kekurangan kesilapan itu sendiri. Cuba dan terus mencuba sehingga lelah mencari ruang memperbetulkan diri, namun hampa! Terus- terusan kita ditujah penyesalan, diterjah ambang kekecewaan namun kita tak punya pilihan lain selain dari memohon kemaafan dan mengubah cara hidup menjadi lebih sempurna.
Sentiasa kita menadah tangan memohon secebis rahmat dari Ilahi namun adakalanya kita terkecewa tatkala permintaan tersasar dan tidak direalisasikan. Andaikan kita telah tersimpang jauh, adakah kita hanya punya airmata untuk mencari jalan pulang?
Siapa kita untuk bicara tentang kesempurnaan? Walaupun sembahyang cukup 5 waktu, ditambah lagi sunatnya, puasa sepurnama Ramadhan, ditambah lagi yang sunat, bersedekah jariah tidak berputusan. Cukupkah itu semua untuk melengkapkan diri kearah kesempurnaan?
Kita hanya hamba ciptaan Yang Maha ESA. Dialah yang bisa menentukan kita sempurna mahupun tidak, menerima mahupun menolak amal perbuatan hambaNYA. Kita tidak layak menyoal hidup dan masa lampau orang lain. Malah siapalah kita untuk menjatuhkan hukum pada kesilapan dan kekilafan orang lain.
Aku menulis ini sekadar mengingatkan diriku yang kilaf dan menyeru agar usah kita melihat kejahilan dan terus mentertawakan. Mahasabah dan seringnya kita lihat siapa diri ini dan jangan terfikir untuk membanding-bandingkan dengan sesiapa. Kelayakan kita jauh tersasar untuk menghukum baik buruk seseorang.
Aku menulis sekadar mengingatkan diri ini ujian Allah datang berbagai-bagai cara dan rupa. Kadang-kadang kita alpa bahawa diri ini sedang diuji.
Aku menulis kerana ada yang suka melihat masa lampau dan membawanya kembali menjadi lembaran hari esok. Kesilapan satu pengajaran bukan landasan menjatuhkan sesiapa. Penyesalan ubat terbaik mengenal kesilapan agar tidak berulang kejahilan. Selagi kita bernama HAMBA ALLAH, kubur kita masih di tanah merah, masih sama luasnya, masih sama ratanya.