Kebelakangan ini sering aku rencanakan kebingungan aku pada dia. Kalau bisa saja alam mengerti mahu jua aku khabarkan.
Kayuhan kaki ini aku lajukan, agar tidak terpasung oleh cinta. Apa erti gahnya "cinta" ? Apa benar itu tiket bahagia? Kadangkala tujahan persoalan itu menerjah tiang-tiang hati.
Lama tidaklah memakan kurun mahupun abad. Aku & Dia cuma buntu seketika. Memang benar...cuma seketika! Sungguh sekejap rupanya.
Mari, biar benar dekat padaku agar dapat ku bisikkan kerana ini rahsia Akta Sulit Jiwa. Jika aku khabarkan jangan kau bicara pada mereka. Ini antara Aku & Dia tanpa ada mereka. Takut- takut mereka sindirkan aku, tertawa pada babak romantisku. Malah, mungkin juga ada yang makan hati tak mahu menerima hakiki bahawa Aku & Dia pantas membina Taj Mahal Cinta.
Kata orang cinta itu bisa meracuni jiwa, membunuh gagah. Ada pula yang berkata cinta itu pengubat sanubari, pelengkap hati. Aku membiarkan kata-kata orang itu membuktikan kebenarannya.
Aku & Dia bertaut cinta sepantas 48 kiraan jam atau dua hari lamanya. Lama benar bila malam menjadi pemisah. Seksa menunggu panggilan darinya. Lama benar 48jam untuk jarum jam berdetik.
Aku & Dia hanya diikatkan oleh pautan cinta alam maya. Mungkinkah ini benar cinta aku atau hanya satu lagi babak kecewa yang bakal tiketnya keesokan hari. Aku hanya mampu tawakal.
Kenal pun tidak, bicara hanya beberapa ketika namun panahan utusan Ilahi bagai berkata Aku & Dia bakal mengharungi dunia dan akhirat bersama. Tanpa renungan tirus, aku hanya selami melalui kanta makrifat, kami diikatkan dengan perjanjian direstui keluarga.
715 hari dari tarikh bertentang mata, aku dirisik dan menjadi tunangan. Pantasnya bak halilintar kini 24 hari Aku & Dia menjadi kekasih atas tiket pertunangan. Asam garam, pahit manis dirasai. Usah berdolak dalih, hambar menampar jiwa kering. Namun maaf! Itu bukan pasport merentasi sempadan "benci & bosan".
Semoga beberapa purnama yang mendatang akan menggugurkan semua dedaunan kering di langit ketujuh menyatukan gersang hati Aku & Dia.
Bulan itu tersenyum melihat, seing bibir mengukir senyum cinta lantas Aku & Dia panjatkan syukur pada Yang Esa. Pantasnya cinta dihati bukan paksaan sesiapa, tidak juga membunuh hati insan lain. Berlalu itu sejarah bukan kekesalan. Berlalu itu mendewasakan kita, jangan di sumpah ketujuh keturunan.
Hanya Aku & Dia untuk jalanan indah dunia spertimana impikan syurga Jannah.
***akan bersambung babak seterusnya bila episod baru bermula***