Namun, kenapa anak ini diseksa penuh kerakusan? Kenapa manusia yang bertopengkan syaitan itu tegar sekali memijak tubuh kecil anak ini? Rasukan syaitan apakah hingga kau jadikan anak ini seperti bola yang bisa kau tendang dia? Tidak adakah sekelumit kasih dan sayang dalam hati hitam mu untuk kau hulurkan sedikit rasa simpati buat anak ini? Kau ragut kehidupan anak ini sekejam-kejam perbuatan. Kau benar-benar buat aku marah!!!
Adikku Syafia,
Kau tak perlu bimbang lagi, hatimu kini tenang kerana kau telah kembali kepadaNya dan akan sentiasa berada dibawah payung lindunganNya. Jangan kau takut lagi. Si rakus itu tidak akan menyakiti kau lagi. Setiap kezaliman, keluhan dan kesakitan kau akan dibalas oleh Yang Esa kapan tiba masanya nanti. Aku dan seluruh penduduk bumi ini akan berdoa agar kau rohmu dicucuri rahmat dan kau ditempatkan bersama dengan golangan mukmin. Semoga syurga yang kekal abadi itu menjadi tempatmu wahai adikku. Tika ini, hatiku benar sayu dengan pemergianmu tapi aku yakin disana lebih baik buatmu.
Kau yang terpesong moral,
Aku tidak pasti bagaimana kau lalui zaman kanak-kanakmu samada penuh gembira atau penuh duka. Namun, ini bukan caranya kau ragut kebahagiaan hati anak sekecil itu, seusia 3 tahun. Dia masih naif, dia sangat lemah dan mentah dalam melalui kekejaman yang kau ciptakan itu. Malah dia masih muda untuk mengenal erti hidup.
Pernahkah kau terfikir jika dirimu diseksa sedemikian rupa? Sudah pasti kau tahu betapa pedihnya bila diri ini dianiayai. Kau telah menurut nafsu hasutan syaitan yang dilaknat Allah itu. Wahai hamba Allah, kembalilah, bertaubatlah kerana pintu taubat itu masih terbuka luas. Jangan kau ulangi perbuatan hina ini. Mohonlah kemaafan dan keampunan dari Allah S.W.T, Tuhan Yang Maha Pengampun.
Cukuplah adik Syafia yang disakiti. Jangan diragut lagi senyuman kanak-kanak lain. Berikanlah peluang buat anak kecil lain meniti bahagia. Jadikanlah ini pedoman, pengajaran dan nokhtah. Biarkan penderitaan anak kecil berakhir cukup sampai disini. Aku jamin wahai insan lain yang terpesong moralnya, perbuatan ini disumpah sekalian alam.
Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Kau cucuri lah roh adik Syafia. Kau tempatkan dia ditempat yang kau muliakan. Kau tiupkan lah hidayahmu buat mereka yang menzalimi anak-anak kecil agar terbuka hidayah dan dihentikan segala perbuatan mereka yang terkutuk itu. Kau lindunglah anak-anak kecil lain dari bahana penderitaan seperti ini. Hanya padaMu aku memohon Tuhanku! Tuhan Yang Satu...
Amin....!