Jika bisa aku pecahkan kepompong ketakutan ku, lama sudah aku hempaskannya. Aku tak ingin lagi dibelenggu segala kebimbangan yang melangkaui batas fikiran. Aku ingin berlari ke lautan luas yang ditemani setia pantai sisiran. Aku mahu bebas dari diselimuti kemurungan itu.
Walau semalam wajah gelap berlumpur, ditiup angin keresahan, dibuai keraguan, hari ini aku mahu terus bangkit dan menentang segala rasa terkilan. Apa bahagia tiada sedikit ruang untuk aku bertamu? Aku teringin benar mahu menyelinap ke rona kecil kegembiraan itu.
Malam sering bawa aku terbang, melihat pancaindera luar biasa. Aku asyik dibuai hilai tawa bidadari walau hakikatnya aku tahu ia tidak selama mana. Aku mahu realiti seindah anganan ku, bidadari menemani aku, terus membelai aku.
Salahkah aku ingin meminjam senyummu? Salahkah aku menagih dan menghulur harapan padamu? Salahkah aku mencuri secubit kegembiraanmu? Salahkah aku untuk semua itu?
Lama benar aku dikurung rasa kesedihan itu, hingga pungguk benci melihat wajahku. Bulan yang menjadi bintang hati pungguk, beralih arah menemani kepiluan ku. Maaf pungguk, aku tak bisa beralih dari mengharap kasih bulan itu. Salahkah kita pungguk?
Aku mahu terus bangun dan kuat bersama semangatmu, seperti yang telah kau pinjamkan padaku sejak dari hari pertama lagi. Aku mahu terus bernafas dalam setiap bait-bait doa yang kau utus. Aku mahu berbantalkan kasihmu, sama seperti yang kau kongsikan pada ku sejak hari itu.
Kasih ini hanya satu, aku tak mahu dua atau tiga. Meniti hari untuk melihat dan membahagiakan mu. Maaf jika aku resah, aku tak rela hadapi kepahitan ini. Mari genggami tangan ku, bawaku tersenyum dan nyahkan derita kisah lalu. Aku hanya mahu mendampingimu.
Jika kau bisa lihat di sudut sulit hatiku, pasti tidak kau percaya kejujuran dan keikhlasan ku. Moga Allah SWT merawat luka-luka kita dan mencampakkan sinar gemilang dalam perjalanan kita menuju kehidupan hakiki di sana.
0 comments:
Post a Comment