Waktu ini aku merasakan diriku cukup lemah dalam menghadapi kehidupan material. Memang benarlah kata orang semuanya berbayar. Tak terpikul rasanya tanggungjawab seberat itu di kala ini. Berapa lama lagi aku mahu bergantung harap pada orang lain?
Kini aku sedar bebanan yang ditanggung orang tua ku. Itu perlukan wang, ini pula tidak percuma. Semuanya bermain ligat di benak tatkala hujung bulan tiba. Sebelum ini aku hanya tahu meminta tetapi kini aku mengenal erti memberi.
Telah ku susun satu persatu, bila ku selak makin banyak yang perlu dibereskan. Apakah ini lumrah mereka yang bergaji, atau permulaan tahun 2010 yang mahu mengajar aku sesuatu tentang menghargai sesuap rezeki.
Mahu atau tidak kaki yang berat harus terus melangkah. Tangan ini yang sudah melimpah menerima perlu diajar memberi dari kocek sendiri. Meskipun pada hakikatnya nafsu ku masih belum muak untuk terus mendapat bantuan dan simpati.
Aku bernekad. Aku berazam membelanjakan apa yang sepatutnya. Memikul segala tanggungjawab yang tergalas sebaiknya. Dunia sememangnya bukan percuma, itu dan ini menuntut bayarannya. Walaupun begitu aku mahu lebih tawakal pada rezeki yang diterima. Moga-moga aku bukan tergolong dalam mereka yang kufur.
Mudah-mudahan Allah mendengar rintihan dan doa. Semakin hampir hujung dunia semakin kecut aku akan dosa-dosa kecil yang tak terlintas di minda.
0 comments:
Post a Comment